Artikel ini menerangkan tentang panduan merekabentuk sistem pendawaian
elektrik di rumah yang biasa diamalkan oleh juruelektrik di Malaysia.
Sebenarnya tiada pengiraan khusus untuk menentukan saiz wayar, MCB, RCCB
dan bilangan mata kuasa memandangkan kita tidak mengetahui berapa
banyak beban yang akan digunakan oleh pengguna di rumah.
Walaubagaimanapun, sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai IEEE
(Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik) telah menyediakan garis
panduan untuk rekabentuk pendawaian elektrik ini.
Pendawaian elektrik rumah bermula daripada papan agihan atau dalam Bahasa Inggerisnya disebut
Distribution Board (DB). Papan agihan terdiri daripada suis utama, RCCB dan MCB. Baca
sini untuk mengetahui secara umum tentang papan agihan. Pendawaian elektrik akan diagihkan ke dalam rumah melalui MCB.
Gambar di atas menunjukkan sistem pendawaian elektrik yang biasa
dipasang untuk rumah 1 tingkat 3 bilik. (Klik pada gambar untuk
besarkan, klik
sini untuk muaturun gambar di atas dalam format PDF).
Terdapat 4 jenis litar pendawaian elektrik rumah iaitu litar gelang, litar jejari, pencahayaan dan litar khusus.
1. Litar jejari
Pendawaian litar jejari hendaklah meliputi jumlah kawasan bersaiz 50m².
Tiada had bilangan soket alir keluar 13A (soket plug) untuk litar ini,
tetapi mengikut pengalaman jurutera elektrik dan juruelektrik, 6 unit
soket plug adalah bilangan yang ideal untuk kawasan seluas 50m².
Biasanya litar jejari digunakan untuk pendawaian soket plug di dalam
bilik. Saiz minimum wayar untuk litar ini adalah 2.5mm² bertebat PVC dan
ia disambung pada MCB bersaiz 16A.
2. Litar gelang
Litar gelang adalah litar di mana pangkal dan hujung pendawaiannya
disambung pada MCB yang sama. Pendawaian litar jejari hendaklah meliputi
jumlah kawasan bersaiz 100m². Tiada had bilangan soket alir keluar 13A
(soket plug) untuk litar ini, tetapi mengikut pengalaman jurutera
elektrik dan juruelektrik, 10 unit soket plug adalah bilangan yang ideal
untuk kawasan seluas 100m². Biasanya litar gelang digunakan untuk
pendawaian soket plug di luar bilik seperti ruang tamu, ruang berehat
dan dapur. Saiz minimum wayar untuk litar ini adalah 2.5mm² bertebat PVC
dan ia disambung pada MCB bersaiz 32A.
3. Litar pencahayaan
Lampu, kipas, loceng pintu dan jam elektrik disambung pada litar
pencahayaan. Jumlah maksimum mata kuasa yang dibenarkan untuk litar
pencahayaan adalah 10 unit. Saiz minimum wayar untuk litar ini adalah
1.5mm² bertebat PVC dan ia disambung pada MCB bersaiz 6A.
4. Litar khusus
Litar khusus adalah untuk peralatan elektrik yang kuasanya melebihi 2000
Watt seperti pemancur air panas, oven dan penghawa dingin. Setiap
peralatan ini hendaklah dikhususkan satu litar pendawaian terus dari
papan agihan, disambung pada MCB bersaiz 20A dengan saiz minimum wayar
2.5mm² bertebat PVC. Sebagai contoh, rumah anda mempunyai satu unit
pemancur air panas dan 2 unit penghawa dingin. Ini bermakna anda
memerlukan 3 litar khusus untuk peralatan tersebut. Litar khusus 1 untuk
pemancur air panas, litar khusus 2 untuk penghawa dingin pertama dan
litar khusus 3 untuk penghawa dingin kedua.
Dalam sesebuah rumah, bilangan litar jejari, litar gelang dan litar
pencahayaan boleh lebih dari satu. Sebagai contoh, rumah 2 tingkat
dengan 4 bilik. Litar jejari, litar pencahayaan dan litar gelang pertama
adalah untuk tingkat bawah manakala litar jejari, litar pencahayaan
dan litar gelang yang kedua adalah untuk tingkat atas.
Kesemua MCB ini akan disambung pada
RCCB
dengan menggunakan wayar bersaiz 4mm² (minimum). Terdapat dua saiz RCCB
yang sesuai untuk pendawaian elektrik dalam rumah iaitu 40A dan 63A.
Sekiranya rumah anda memerlukan soket plug dan mata kuasa kipas/lampu
tidak melebihi 20 unit dan tiada penggunaan peralatan elektrik berkuasa
lebih 2000W, RCCB bersaiz 40A sudah mencukui. Jika lebih dari 20 unit
dan mempunyai peralatan elektrik 2000W ke atas, RCCB 63A diperlukan.
Gunakan RCCB yang mempunyai kepekaan 100mA.
Sekiranya pendawaian dilakukan dalam konduit GI (paip besi bergalvani), wayar elektrik yang perlu digunakan adalah jenis
double insulated
(2 lapis penebat). Ini kerana jika kerja pendawaian dilakukan dalam
elektrik paip besi, sekiranya dilakukan dengan kasar ia boleh
menyebabkan lapisan penebat wayar terkoyak. Oleh itu wayar
double insulated diperlukan supaya penebat wayar elektrik masih dalam berkeadaan baik sekiranya lapisan pertama penebat telah terkoyak.